Cari Blog Ini

Selasa, 24 November 2009

cit3r p3kid4

20 August 2009

Pekida perketat syarat keahlian, nafi tohmahan pertubuhan samseng


KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) memperketatkan syarat keahlian serta menyusun semula organisasi pertubuhan berkenaan bagi menangkis tohmahan masyarakat terhadap imej Pekida yang mula dipandang serong.

Presidennya, Jamaluddin Yusof berkata, tindakan berkenaan diambil berikutan berlaku banyak kes yang menggunakan nama Pekida, termasuk beberapa tindakan sesetengah pihak yang mendakwa ahli Pekida yang bertindak di luas batas undang-undang negara.

“Pekida adalah pertubuhan yang mempunyai prinsip dan peraturan agar tidak mendatangkan sesuatu yang boleh melanggar undang-undang negara, sekali gus menafikan dakwaan ini adalah pertubuhan samseng.

“Setiap individu yang ingin menjadi ahli, mestilah mendapat sokongan Ayahanda yang dilantik oleh Majlis Ayahanda Pekida bagi mengelakkan kekeliruan yang ditimbulkan sesetengah pihak,” katanya ketika ditemui di Pejabat Pekida Bukit Bintang di sini, semalam.

Jamaludin berkata, selain syarat keahlian diperketatkan, hanya satu lambang sahaja yang diluluskan dan hanya ahli berdaftar sahaja yang boleh memakai pelekat kenderaan serta lambang pertubuhan berkenaan, dan jika terdapat lambang lain, pertubuhan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang.

“Pelantikan Ayahanda juga hanya dilakukan melalui majlis, dan setiap daripada mereka mempunyai satu kad khas sekali gus penyusunan semula organisasi berkenaan dapat menangani masalah yang timbul termasuk penyalahgunaan lambang dan nama Pekida.

“Kita mahu seluruh masyarakat menyenangi pertubuhan Pekida, bukannya memandang serong terhadap kami dan jika ada pihak yang teraniaya sebelum ini, mereka boleh membuat aduan kepada Pekida daerah dan negeri dan kami akan menjalankan siasatan termasuk membuat laporan polis jika perlu,” katanya.

Katanya, selain itu, Pekida juga menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa pertubuhan berkenaan mendapat permit teksi sebanyak 2,000.

“Dakwaan tersebut tidak benar sama sekali dan kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap pihak yang memfitnah berkenaan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan